Total Pageviews

Sunday, October 31, 2010

Bahasa Melayu Sebagai Alat Perpaduan


 Manusia berkomunikasi di antara satu sama lain melalui pelbagai cara seperti penggunaan lisan, tulisan dan simbol. Dalam apa cara sekali pun manusia berkomunikasi, matlamat utama adalah untuk memahami di antara satu sama lain. Persefahaman ini adalah sangat penting khasnya untuk negara seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Melayu, Cina dan India merupakan tiga bangsa utama di Malaysia. Melayu merupakan kaum majoriti  dengan peratusan penduduk yang melebihi 50%. Memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, maka perlulah adanya satu bahasa utama yang difahami oleh semua kaum. Kesefahaman melalui penggunaan bahasa yang utama akan menjamin suatu masyarakat yang bersatu padu.

Perpaduan merupakan agenda yang penting semasa Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu telah diiktiraf dan diistiharkan sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152. Tujuan utama penggunaan Bahasa Melayu adalah sebagai alat perpaduan. Dengan adanya satu masyarakat yang bersatu padu melalui penggunaan Bahasa Melayu, maka Malaysia akan terus makmur, maju dan disegani ramai di persada antarabangsa.

Lantaran itu, marilah kita memperkasa penggunaan Bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan di Malaysia, daripada iklan dan tanda nama di jalan raya sehinggalah kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua institusi pendidikan. Bak kata ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa”, mengetengah dan menjiwai Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan akan memajukan bangsa Malaysia ke mercu kemakmuran. Bahasa Melayu Perkasa, Alat Perpaduan Negara!

(227 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment